USAHA menentang barah semakin giat dilaksanakan termasuk inisiatif terkini daripada MBF Cards (M’sia) Sdn Bhd (MBF Cards).
Menerusi usaha sama antara MBF Cards dan Majlis Kanser Nasional (Makna) disempurnakan baru-baru ini, program terbabit menyaksikan sumbangan dilakukan kepada dana pertubuhan berkenaan.
Presiden MBF Cards, John Ding, berkata kerjasama berkenaan membolehkan syarikat memainkan peranan aktif untuk mendidik orang ramai mengenai penyakit terbabit.
Program kad amal MBF Makna itu akan diperkenalkan kepada ahli Makna untuk peringkat permulaan. Ia memberi peluang kepada ahli pertubuhan terbabit untuk meningkatkan sumbangan mereka ketika berbelanja.
Sumbangan sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah perbelanjaan runcit tahunan mereka akan disalurkan kepada Makna.
MBF Cards pula akan menyumbang RM40 untuk setiap permohonan kad utama yang diluluskan.
Presiden Makna, Datuk Mohd Farid Ariffin, berkata usaha menentang barah boleh dipertingkatkan dengan sokongan sektor swasta dan usaha berkenaan tentunya memberi makna untuk penghidap barah dan keluarga mereka.
Menurutnya, sumbangan terbabit akan digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk program kesedaran barah dan aktiviti pendidikan, pembelian ubat-ubatan berkaitan barah serta penyelidikan terhadap penyakit terbabit.
“Dana berkenaan juga akan disalurkan kepada IKM-PPUKM, institut di bawah Makna terletak di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Institut berkenaan menyediakan rawatan antara lain untuk pesakit yang menghadapi masalah kewangan. Rawatan berkenaan termasuk radioterapi dan kemoterapi serta pembelian ubat-ubatan,” katanya.













Be The First To Comment
Related Post
Please Leave Your Comments Below