Ani Mayuni dan Zairi Azmi tersingkir gara-gara pungutan SMS terendah
KEKELIRUAN membezakan pengaruh gabungan tarian Arab dan Latin dan gelek dangdut menerusi lagu Salma Ya Salamah oleh penyanyi Arab Dalida menjadi tarian terakhir pasangan Sehati Berdansa Ani Mayuni dan suaminya Zairi Azmi.
Biarpun dilihat Ani seolah-olah tiada masalah apabila mendapat cabaran untuk membawakan tarian pengaruh Arab dan Latin itu memandangkan dia juga mempunyai asas dalam tarian gelek dangdut, namun baginya ia tetap mempunyai perbezaan.
“Walaupun saya biasa membawakan tarian gelek dangdut tetapi sebenarnya apabila diamati lagu dan muziknya yang cenderung kepada Arab dan Latin terlalu sukar untuk dibawa.
“Apa pun, saya sudah membuatkan yang terbaik. Apa yang diberikan juru tari kami Muhammad Akmal Ayob, berjaya kami lakukan dengan sempurna tanpa sebarang masalah dan mungkin rezeki bukan milik kami,” katanya yang ditemui di Studio 1, Astro Bukit Jalil Ahad lalu.
Pasangan Ani Mayuni atau nama sebenarnya Aishah An-Nur Osman dan suaminya Zairi Azmi mewakili badan kebajikan Majlis Kanser Malaysia (Makna) pada mulanya tidak mampu berucap panjang kerana terlalu sebak apabila diminta membuat ucapan terakhir.
ANTARA aksi menarik daripada Ani Mayuni dan Zairi.
Baginya kalah dan menang itu sudah menjadi kebiasaan dalam setiap pertandingan namun terlalu sukar baginya untuk meninggalkan sahabatnya yang turut bertanding.
“Setiap minggu kami sudah bersedia dengan penyingkiran. Sebenarnya saya terlalu sedih untuk meninggalkan program ini kerana sudah berasa terlalu seronok bersama sahabat lain dan menganggap seperti keluarga sendiri.
“Dalam masa sebulan bersama mereka pelbagai kenangan suka duka kami tempuhi bersama dan saya tahu kami tidak akan dapat bersama lagi seperti sebelum ini. Walaupun di luar kami tetap akan berjumpa tetapi tidak seperti situasi ini.
“Saya juga sedar penyingkiran kami ini juga bukan disebabkan faktor tarian yang tidak baik tetapi yakin dengan pungutan markah dari khidmat pesanan ringkas (SMS) antara yang terendah, namun kami tetap bersyukur kerana juri profesional tidaklah memberi kami antara yang terendah.
“Jadi kami menganggap ia bukan rezeki tetapi sedikit kecewa sebab hanya dapat mengumpul sebanyak RM4,000 saja untuk badan kebajikan yang kami wakili iaitu Makna,” katanya.
Pada persembahan malam itu, pasangan ini turut membuat kejutan apabila Ani berjaya mengangkat suaminya dan menari bergelek. Lagak mereka mendapat tepukan gemuruh penonton malah juri jemputan iaitu Ketua Fakulti Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Joseph Gonzales memuji pasangan ini.
Kata Ani, dia kuatkan semangat untuk mengangkat suaminya dan mujur berat badan suaminya lebih ringan berbanding dirinya.
“Kudrat saya tidak sama seperti lelaki. Sewaktu sesi latihan dijalankan, apabila pereka tari kami menyuruh saya mengangkat Zairi, saya sudah panik. Sewaktu sesi latihan, saya puas mencuba. Namun suami selalu berpesan
walaupun kita bukan penari profesional tetapi kita juga manusia biasa seperti mereka. Sekiranya mereka boleh lakukan, itu bermakna kita juga boleh. Cuma kami kena usaha lebih berbanding mereka,” katanya.
Menurut Zairi lagi, sepanjang pembabitan dirinya dalam bidang yang tidak pernah digambarkan menyertainya tetap memberi satu kepuasan baginya kerana berjaya membentuk halangan pada dirinya.
“Saya bukan memasuki program ini untuk menjadi penari profesional tetapi sekadar untuk menimba pengalaman apabila diberi peluang. Bukannya senang untuk terbabit sekiranya kita tidak memberanikan diri menyertai program seumpama ini.
“Saya ikhlas berkata kami seronok dengan apa yang kami lakukan di sini dan tiada sebarang tekanan langsung sepanjang menyertai program ini.
“Apa sasaran kami adalah mengharapkan orang terhibur dengan apa yang kami lakukan disamping menarik perhatian penonton untuk mengundi kami agar kami dapat menyumbang kutipan kepada badan kebajikan yang kami wakili itu saja,” katanya yang puas walaupun tersingkir pada minggu keempat.
Persembahan rakaman yang diadakan pada Khamis lalu dan disiarkan pada Sabtu serta episod penyingkiran dalam Debaran Sehati Berdansa pada Ahad diadakan bertempat di Studio 1, Astro Bukit Jalil.
Pasangan Ani dan Zairi adalah pasangan ketiga tersingkir pada minggu keempat selepas melihat pasangan Abdul Jamal Jamaluddin, 35, atau Jamal bersama Noor Faridah Mohd Noor dan Shahril Arsat, bersama Noraini Morat.
Kini hanya tinggal enam pasangan yang akan terus beraksi setiap minggu yang terdiri daripada Sabrina Ali dan Mohamad Shahrin, Mazin Amen Siraj dan Ida Chairunisa, Lisdawati dan Fauzi Nawawi, Sasha dan Salyo, Amyza Aznan dan Khairil Izhar juga Khai dan Rosma.













Be The First To Comment
Related Post
Please Leave Your Comments Below