Bergelut atasi Blake untuk tebus kehampaan saingan Sukan Olimpik
ROGER Federer menebus kehampaan suku akhir temasya Sukan Olimpik di Beijing, Ogos lalu, apabila mengungguli pertembungan Showdown of Champions menewaskan lawan dari Amerika Syarikat, James Blake, malam tadi.
Dalam pertembungan disaksikan lebih 8,000 penonton di Stadium Putra, Federer berjaya mengawal keadaan pada detik genting untuk menang pertentangan satu set itu pada penentuan tiebreak, 7-6 (10-7).
Blake memulakan perlawanan dengan baik apabila terlebih dulu mengawal permainan menerusi beberapa pukulan depan mengelirukan yang sukar dibalas untuk mendahului Federer 3-2.
Namun, Federer yang juga juara 13 kejuaraan Grand Slam, kembali meningkatkan permainannya selepas itu dengan beberapa kali mengikat kedudukan sehingga memaksa perlawanan berlanjutan hingga ke tie break.
Blake kembali memberi tentangan kepada Federer di tiebreak apabila mendahului 6-4, tetapi pemain ranking ke-10 dunia itu gagal meneruskan penguasaannya dan ia membuka peluang kepada Federer untuk sekali lagi menguasai permainan.
Ketika kedudukan terikat 7-7, Federer terus mempamerkan aksi menarik menerusi pukulan depan yang sukar dibalas Blake untuk mencatat mata demi mata sebelum memastikan kemenangan 10-7.
Bagi Federer, ia adalah kemenangan manis kerana berjaya menebus kekalahan kepada Blake di suku akhir Olimpik yang menafikan harapannya memenangi pingat dalam acara perseorangan di Beijing.
“Ia adalah perlawanan menarik dan ia memberikan saya kepuasan menewaskan James yang juga rakan baik saya, selepas dia beraksi dengan baik menewaskan saya di Olimpik sebelum ini.
“Saya juga berasa gembira untuk kembali ke Kuala Lumpur, ia hebat ketika pertemuan saya dengan (Pete) Sampras tahun lalu dan ia masih hebat pada tahun ini,” kata Federer selepas perlawanan dengan Blake.
Terdahulu, John Mcenroe berjaya menewaskan Bjorn Borg dalam pertemuan dua pemain veteran dengan 13-11 menerusi tie break selepas kedudukan turut terikat 6-6.
McEnroe kemudian meneruskan aksi mantap dalam saingan beregu apabila berjaya membentuk gandingan mantap bersama rakan senegaranya, Blake untuk menewaskan pasangan Eropah, Federer-Borg 7-5.













Be The First To Comment
Related Post
Please Leave Your Comments Below