Visual mengelirukan dalam program TV3 melukakan hati Ashraf dan Bunga
PAPARAN Melodi yang menggambarkan pihak media seolah-olah tidak berpuas hati dengan layanan diberikan Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari pada majlis persandingan mereka cukup mengecewakan, malah membuatkan pasangan itu terganggu gara-gara laporan tidak tepat seperti disiarkan, Ahad lalu.
Mempersoalkan apa matlamat dan tujuan laporan seperti itu dipaparkan pada siaran langsung Melodi yang menggambarkan seolah-olah media tempatan sentiasa mahukan layanan istimewa, Ashraf dan Bunga mempertahankan majlis persandingan mereka berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.
Menerusi pengurusan Ashraf, Beyond DDB Sdn Bhd yang mengadakan sidang media tergempar di pejabat mereka di Damansara Heights, Kuala Lumpur, pagi Isnin lalu, pasangan itu menjelaskan jika pun berlaku kekurangan ia tidak membabitkan pihak media dan tetamu.
Pengarah Urusan Beyond DDB Sdn Bhd, Amin Hussen mewakili pasangan pengantin baru yang tidak dapat hadir pada sidang media berkenaan kerana terikat dengan komitmen lain berkata paparan mengelirukan visual Melodi mengenai perjalanan majlis persandingan mereka sangat melukakan hati Ashraf dan Bunga.
Katanya, penjelasan mereka bukan untuk mencipta kontroversi baru atau bermusuh dengan Melodi, sebaliknya dibuat atas tanggungjawab untuk menjelaskan duduk perkara sebenar supaya masyarakat memahami situasi pada malam persandingan itu.
Kata Amin, apa yang berlaku pada malam itu adalah apabila ahli keluarga Bunga seramai 30 orang yang ditempatkan di hotel berbeza terpaksa meninggalkan dewan awal disebabkan masalah pengangkutan.
Bagaimanapun, katanya, memahami tugasan pihak media yang mahu mendapatkan bahan berita pasangan itu sedia memberi kerjasama malah terlebih dulu meminta izin untuk bersalaman dengan ahli keluarga Bunga ketika mereka hendak pulang.
“Mereka agak kecewa dengan sikap pemandu bas yang terlalu mendesak untuk segera pulang. Menyedari masalah itu, Ashraf cuba menyelesaikan dengan baik malah bersedia untuk membayar lebih kepada pemandu terbabit.
“Malangnya, pemandu bas bertegas mahu pulang dan keadaan itu membuatkan Bunga agak kecewa kerana tidak dapat bermesra lama dengan keluarga pada hari persandingannya.
“Hanya itu yang berlaku tetapi apabila menonton siaran Melodi, Ahad lalu, kami agak terkejut dengan paparan yang dibuat seolah menggambarkan pihak media tempatan kecewa dengan layanan diberikan pengantin baru.
“Hakikatnya, perkara itu tidak pernah berlaku kerana pasangan Ashraf dan Bunga bersedia meluangkan waktu untuk ditemubual biarpun pada dasarnya mereka menjemput pihak media datang sebagai tetamu.
“Setahu kami, pihak media lain langsung tidak merungut malah bersabar menanti majlis selesai sebelum temu bual dilakukan kerana menghormati hari bahagia pasangan itu.
“Justeru, apa tujuan Melodi berbuat begitu kerana ia secara tidak langsung turut memberi gambaran buruk media tempatan kepada media Indonesia?” katanya.
Bunga kata Amin, meluahkan rasa kesalnya apabila dilayan seperti itu kerana dia tidak pernah bertindak membelakangkan peranan media tempatan yang selama ini menyokong perjalanan karier seni dia dan suaminya.
Bahkan kata Amin, di Indonesia, media di sana tidak pernah mendapat sebarang keistimewaan malah langsung tidak dibenarkan memasuki dewan ketika majlis persandingan diadakan.
“Mereka hanya dapat menontonnya di skrin besar di sebelah dewan. Disebabkan itu, kami tidak menjemput media tempatan ke majlis pernikahan dan persandingan mereka di Jakarta kerana tidak mahu dilayan seperti itu.
“Tetapi apabila paparan seperti itu disiarkan Melodi menyebabkan banyak pihak memberikan komen kurang menyenangkan mengenai peranan media tempatan terutama di internet.
“Itu yang menyebabkan tidak faham apa sebenarnya laporan seperti itu dibuat kerana ia tidak didasarkan dengan fakta yang tepat, sebaliknya hanya mengikut persepsi wartawan itu tanpa bertanya perkara sebenar,” katanya.
Bagaimanapun, kata Amin, mereka belum berbincang bentuk tindakan terhadap produksi program itu sebaliknya akan mengutus surat kepada pengurusan untuk penjelasan sebenar.
Akur format serta cara paparan program Melodi, malah memahami tugasan pihak media dalam mencari bahan berita namun Amin berkata, setiap apa yang dilakukan perlu ada batasan.
“Bunga juga kecewa apabila mendapat tahu kru Melodi turut menemubual tetamu yang tiada kaitan dengan dunia hiburan mengenai kes perceraian pasangan artis lain pada majlis persandingan mereka.
“Apa tujuan mereka berbuat begitu hingga menimbulkan perasaan kurang selesa di kalangan tetamu? Kita masyarakat yang kaya dengan budi bahasa namun mengapa harus mengganggu keseronokan orang lain apabila kita dijemput untuk meraikan hari bahagia mereka,” kata Amin mempersoalkan tindakan Melodi pada malam terbabit.
Ditanya mengenai tindakan susulan Ashraf, Amin berkata, bekas pengacara Beat TV melihat semua itu sebagai asam garam kehidupan selebriti.
“Mereka baru berkahwin, malah sedang melalui detik manis dalam kehidupan jadi Ashraf tidak mahu keseronokan itu dirosakkan dengan apa yang berlaku ini. Fokus utama Ashraf adalah untuk memantapkan kariernya. Bagaimanapun, terpulang kepada wartawan itu untuk melakukan tindakan selanjutnya,” katanya.
Melodi mempertahankan laporan
SEMENTARA itu, wartawan Melodi, Michelle Wee, mempertahankan dia tidak berniat untuk menjatuhkan maruah sesiapa sebaliknya hanya melaporkan apa yang berlaku menerusi visual yang dipaparkan.
Sebelum itu, katanya, dia juga menerima rungutan daripada produksi Nona yang mengeluh kerana temu bual eksklusif yang dijanjikan tidak dipenuhi pasangan pengantin baru itu.
“Ashraf dan Bunga boleh mempertahan diri mereka ketika temu bual dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, Amin mempersoal bagaimana Ashraf mampu memberi reaksi yang baik jika dirinya berperang dengan pelbagai emosi.
Malah, Amin juga mempersoalkan mengapa kru Melodi dan Nona tidak berurusan dengan mereka kerana perjalanan acara itu ditangani Beyond DDB.
“Mereka sudah memberikan komitmen yang baik, malah hanya kru Nona yang menerima jemputan serta mendapat liputan eksklusif acara pernikahan di Jakarta dulu.
“Mengapa perlu bertanya terus kepada Ashraf dan Bunga kerana mereka tidak tahu apa-apa? Sepatutnya datang menemui kami dan memaklumkan mengenai kesulitan yang dihadapi.
“Daripada apa yang saya tahu kru Nona tetap mendapat peluang untuk temu bual eksklusif dengan pasangan pengantin selepas acara selesai,” kata Amin.













Be The First To Comment
Related Post
Please Leave Your Comments Below