TIDAK keterlaluan jika dikatakan pelakon dan pengacara popular, Sheila Rusly, 36, digelar ‘ratu’ televisyen apabila wajahnya menguasai hampir semua stesen sepanjang Ramadan dan Syawal.
Lebih membanggakan, drama Tain Turun Town (Tain 3′T) yang dijayakan bersama anggota kumpulan Senario, Wahid, Azlee dan Mazlan, ditonton hampir 2.7 juta orang ketika disiarkan di TV3 sepanjang bulan puasa baru-baru ini.
Selain itu, rancangan masakan dikendalikan Sheila, Ketuk-Ketuk Ramadan disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM1) sebanyak 26 episod. Tain 3′T dan Ketuk-ketuk Ramadan adalah terbitan produksi miliknya bersama suami, Azman Yahya atau Jinggo, JS Picture Sdn Bhd (JSPSB).
Kerana ramai yang meminati rancangan masakan itu, RTM1 memberi ruang Sheila menghasilkan rancangan masakan khas untuk Aidilfitri, Ketuk-Ketuk Syawal selama satu jam.
Tidak cukup dengan itu, drama Hanya Aku juga terbitan JSPSB dan mengetengahkan isu penagih dadah dan penghuni Rumah Pengasih, disiarkan di Astro Ria pada hari raya kedua. Kisah dipaparkan mendapat pujian ramai kerana menampilkan tema berbeza berbanding drama raya sedia ada.
Begitupun, bagi Sheila yang menang anugerah Artis Komedi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) lima tahun berturut-turut, mengakui perkembangan ini turut membimbangkan dirinya terutama membabitkan pandangan peminat.
Katanya, dia bimbang apabila wajahnya menguasai hampir keseluruhan stesen televisyen termasuk Astro membuatkan penonton mengatakan seperti tiada orang lain yang boleh diambil berlakon selain dirinya.
Bagaimanapun tegas ibu dua anak ini, sekiranya dinilai kembali semua rancangan yang membabitkan dirinya ia menampilkan tema pelbagai.
“Dalam Ketuk-Ketuk Ramadan, saya bukan saja mengacara, tetapi turut memasak bersama artis terbabit. Untuk memberikan kelainan supaya Ketuk-Ketuk Syawal lebih istimewa, saya menghasilkannya dalam bentuk sitkom.
“Drama pula, selain Tain 3T saya hanya berlakon dalam Hanya Aku. Itu saja. Cuma membanggakan apabila JSPSB diberi peluang menghasilkan produk khas untuk stesen Astro.
“Hendak diikutkan dari perancangan awal rancangan dihasilkan hanya Tain 3T, Ketuk-Ketuk Syawal dan Hanya Aku. Manakala rancangan lain dianggap bonus kerana tawaran datang kemudian seperti Ketuk-Ketuk Syawal.
“Selain itu saya turut dijemput untuk menjayakan beberapa rancangan terbitan produksi lain bercorak hiburan seperti Seiring Jalan menampilkan wartawan hiburan menyanyi lagu raya dan gameshow Siapa Lebih Bagus disiarkan di TV3,” katanya.
Pengacara Apa-Apa Aje ini turut mengakui muncul lebih kerap sepanjang Ramadan dan Syawal adalah satu strategi yang baik bagi pelakon sepertinya. Katanya, kebanyakan penonton lebih banyak menghabiskan masa menonton televisyen sepanjang musim perayaan.
“Rancangan masakan paling disukai terutama suri rumah dan kami sasarkan ia untuk mereka. Alhamdulillah, ia mendapat maklum balas baik dari penonton.
“Malah, orang di Singapura juga menggemarinya. Pada saya rancangan dihasilkan di musim perayaan ini perlu lebih ringan.
“Sebagai penerbit, penting untuk saya mengkaji pasaran kerana rancangan dihasilkan bukan bahan tontonan sendiri, tetapi lebih kepada orang ramai.
“Mengambil contoh untuk menarik minat penonton remaja, sebagai penerbit saya turut melihat apa yang mereka suka. Sekiranya cerita dari Hollywood dan Korea digemari, saya kena tahu apa yang menyebabkan mereka suka dan tekun mengikuti rancangan dihasilkan dari sana.
“Perkara lain yang perlu diberi penekanan. Penonton kita sudah bijak dan mereka mahu menonton sesuatu yang dekat dengan diri mereka dan paparannya lebih realiti. Cerita bercorak fantasi sudah tidak lagi menjadi pilihan. Penonton sudah pandai menilai dan berfikir.
“Atas alasan itu, saya perlu sentiasa mengikuti isu semasa disamping memastikan karya dihasilkan berbeza dengan apa yang dihasilkan produksi lain. Selepas mengkaji pasaran, lalu lahirkan idea untuk menerbitkan drama Hanya Aku,” katanya.
Kata Sheila, biasanya idea untuk karya JSPSB diperoleh hasil perbincangan bersama. Justeru sebelum sesebuah rancangan atau drama diterbitkan, dia bersama suami yang turut bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip akan duduk bersama bagi menjalani sesi ‘perah otak’.
Sepanjang tiga tahun beroperasi, Sheila meluahkan rasa bangga kerana JSPSB kini berada di landasan yang betul.
“Bagaimanapun JSPSB perlu bertahan dan waktu sama belajar banyak perkara baru kerana perubahan dalam industri penyiaran berlaku dengan pantas. Kami perlu memastikan produk dihasilkan berkualiti.
“Kerana itu banyak tawaran datang dari stesen televisyen minta kami menghasilkan drama atau rancangan, tetapi tidak dapat dipenuhi kerana kami takut jika terlalu banyak nanti kualiti tidak dapat diberi perhatian. Bagi kami, apa yang penting adalah kualiti dan bukan kuantiti,” katanya.
Sheila kini kembali ke lokasi memulakan penggambaran drama bersiri Buluh Betong. Selain rancangan televisyen, Sheila turut muncul dengan buku resepi terbaru dan kelima hasil dari rancangan Ketuk Ketuk Ramadan yang kini sudah berada di pasaran.
“Buku ini masih menerapkan konsep sama iaitu memasak sambil menderma. Sebahagian daripada hasil jualan buku ini akan disalurkan kepada pihak mahupun badan kebajikan memerlukan,” katanya













Be The First To Comment
Related Post
Please Leave Your Comments Below