KEHADIRAN cahaya mata lelaki, Brendan Joseph yang dilahirkan pada 16 September lalu semakin mengukuhkan kebahagiaan dikecapi Mark Wahlberg dan tunangnya, Rhea Durham.
Terdahulu, pasangan selebriti Hollywood ini sudah mempunyai dua anak, Ella Rae, 5 dan Michael, 2.
Lebih bermakna, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Wahlberg, yang juga bekas anggota kumpulan New Kids On The Block ini juga mendedahkan hasratnya untuk mengahwini Rhea bila tiba masanya nanti.
Menurut bintang The Planet Of The Apes ini, dia ingin mengahwini Rhea kerana menyedari kesilapan ketika meninggalkannya dulu.
“Kami berpisah selepas kelahiran Ella dan bersama semula selepas itu. Namun, kami berpisah lagi dalam tempoh beberapa tahun kemudian. Apapun, kami tetap inginkan perhubungan ini berjaya dan pada masa sama membesarkan anak bersama.
“Saya percaya, hubungan ini akan berjaya jika kita ada usaha, kerja keras dan kaunseling untuk mengeratkan lagi hubungan sedia ada. Saya tidak boleh beritahu anda mengapa dan kenapa saya meninggalkan Rhea dulu.
“Kami masih bersama kerana saya percaya kami mempunyai peluang yang lebih baik untuk berjaya dan hidup bersama,” katanya.
Namun, Wahlberg mengakui, dia belum bersedia untuk berkahwin pada usia 20 atau 30 tahun.
“Cuma buat masa ini, saya sudah bersedia untuk memberikan komitmen terbaik dalam satu perhubungan itu,” katanya.
Sejak kehadiran anak ketiga mereka juga, kehidupan Wahlberg dan Rhea juga bertambah sibuk. Maklumlah, mereka mempunyai tiga anak kecil yang perlu dijaga dengan baik.
Menurut majalah America’s Life + Style, pasangan ini juga baru saja berpindah ke kediaman yang lebih selesa.
Rumah mereka di Beverly Hills juga sudah diletakkan di pasaran dengan harga RM55.65 juta jauh melebihi daripada harga asal ketika mereka membeli hartanah berkenaan dulu.
Tidak cukup dengan itu, pelakon yang juga bekas rapper ini juga dilaporkan berusaha untuk menjadi bapa yang baik kepada tiga anaknya.
Khabar terbaru, dia juga melarang anak-anaknya daripada menonton filem porno yang pernah dilakonkan pada 1997, Boogie Nights.
“Terus terang, saya tidak mahu anak-anak menonton filem itu dan melihat keburukan yang pernah saya lakukan dulu,” katanya.
Sementara itu, Wahlberg berkata, kini, dia serius memikirkan untuk mengarah filem pula pada masa depan.
“Saya terfikir untuk mengarah filem selepas berlakon dalam The Lovely Bones dan bekerja dengan pembikin filem Peter Jackson.
“Pengalaman bekerja dengan Jackson tidak sama seperti orang lain. Sudah lama saya berhasrat mengarah filem selepas bekerja dengan ramai pengarah yang hebat dan pada masa sama menimba ilmu lakonan sepanjang bekerja dengan dengan mereka.
“Saya tidak fikir anda boleh buat apa yang Peter (Peter Jackson) boleh buat dan saya juga ingin mengukur tahap kebolehan mengarah satu hari nanti. Saya tidak terfikir boleh sampai sehingga pada tahapnya tetapi berlakon filem adalah pengalaman menakjubkan dalam kerjaya saya,” katanya.













Be The First To Comment
Related Post
Please Leave Your Comments Below